Wanita
Yang Indah
Cinta Selepas Nikah
"Pandangan mata seorang wanita
lebih tajam dan merbahaya daripada tembusan panah yang berbisa. Oleh itu
awasilah selalu agar jangan terkena panahan matanya..."
Aduhai wanita sungguh mahal
pandangan mu di mata lelaki, tapi kenapa masih ada lagi yang tidak menyedari?
Dirimu terlalu agung di mata lelaki dan terlalu mulia di sisi pencipta mu;
namun itu semua hanya jika kau tahu mengagungkan dan memuliakan diri mu
sendiri. Menjadi wanita adalah satu anugerah yang tepaling indah. Seharum mana
pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya
gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkah mu, halusnya butiran pasir
yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya
tuturmu.
Duhai wanita sebenarnya, maruah diri
yang kau galas lebih berat daripada bongkah bongkah batu yang besar, kau
menepis dengan penuh sabar tiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi tubi
hingga hampir mengheretmu ke kancah yang penuh onar. Percayalah wanita, akan
ada bahagia diakhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.
Wanita ku, terima saja makian yang bederu
deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima saja itu dengan
senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti
kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir bibir sumbing yang ingin
melihat mu sungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu
suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.
Saudara wanitaku, iman mu adalah
perisai, agamamu adalah landasanmu disetiap langkah yang kau atur. Jangan
sesekali kau biarkan anasir songsang memperkotak katikan iman mu apatah lagi
agama yang kau kandung hanya kerana nikmat duniawi semata mata, jangan kau
gadaikan maruahmu yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu
yang tidak mungkin bisa kau kendong. Andai kata kau tersungkur, segeralah
bangkit dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu atur kembali
langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan
sang jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah
lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita andai
apa yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, syurga itu sentiasa menanti mu.
Bulatnya iman dan takwa sumaiyah ketika di hunuskan tombak ditubuhnya, demikian
jugalah bulat iman mu harus kepada pencipta mu.
Peganglah kata kata ini, "kau
sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai
tunjang dalam kehidupan".
Wanita, biar tawadukmu lebih
menggungung daripada kejelitaanmu, biar keayuan mu terpancar dek kerana lemah
gemalainya perilaku, biar kebijaksanaan mu terpampang oleh tingginya ilmu mu.
Jangan sesaat pun kau lupa setianya masyitah pada Tuhannya, agungnya kasih
khadijah kepada agamanya dan perjuangan srikandi srikandi agama terdahulu.
Jadikan agama mu sebagai tunjang yang memperkasakan akidah mu, biar kesabaranmu
manjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan iman mu dengan sejuta lapis sifat
mahmuda. Jadilah kita wanita paling bahagia.